JAKARTA: Duta baharu Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin menyerahkan watikah pelantikannya kepada Presiden Joko Widodo di Istana Merdeka di sini pada Isnin.

Pada majlis itu, Syed Md Hasrin menyampaikan salam takzim Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada presiden Indonesia yang juga dikenali sebagai Jokowi.

Jokowi mengucapkan tahniah atas pelantikan sebagai duta baharu Malaysia dan mendoakan beliau berjaya dalam menjalankan tugasnya.

Syed Md Hasrin berkata beliau berhasrat mengukuhkan lagi kerjasama dan hubungan sedia ada antara kedua-dua negara.

"Saya berharap dapat bekerja rapat untuk membawa hubungan Indonesia-Malaysia ke tahap yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita di kedutaan Malaysia.

Sementara itu, Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi berkata penyerahan tauliah oleh lapan utusan asing termasuk dari Malaysia pada majlis itu akan meningkatkan hubungan dan kerjasama.

Hubungan dua hala Indonesia dengan lapan negara itu pada masa ini sangat baik, bermula dengan perdagangan dan pelaburan, katanya dalam satu kenyataan.

Syed Md Hasrin sebelum ini berkhidmat sebagai wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York sejak 2019 selain pernah berkhidmat di Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Sains Politik dari Universiti Arizona, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Awam dari Universiti Nasional Singapura.

-- BERNAMA